basree-rakijan

Monday, February 04, 2008

P. S. I Love You

Jamil bangun tidur macam biasa hari itu. Jam 6.30 pagi. Selepas solat subuh dia menghantar anak lelakinya ke sekolah. Dia balik ke rumah semula lepas itu, sebaik anaknya berlepas dengan LRT.

Sambil membaca akhbar, dia menjamah sarapan yang tersedia di atas meja. Awal lagi untuk bersiap ke tempat kerja, fikir Jamil. Berita akhbar yang dibacanya tidak mendapat tumpuan. Fikiran Jamil melayang jauh. Dia teringat permintaan Faridah yang mahu mengajaknya keluar hari itu.

“I balik seorang kali ni,” kata Faridah menelefon.
“Kenapa Ismail tak ikut?” Jamil cuba mendapat kepastian.
“Dia ada kerja di LA, lagi tiga minggu dia sampai. I nak tengok KLCC, boleh temankan?”
“Anak-anak ikut?”
“Ya, Amilah dan Nadia.”

Faridah baru sampai dari Los Angeles tiga hari lepas. Katanya hendak bercuti lama di KL. Ismail, suami Faridah akauntan di firma Young and Knowlton beribupejabat di sana. Ini bukan kali pertama dia pulang ke Malaysia berseorangan. Kerana kesibukan suaminya, dia sudah biasa ke sana sini seorang diri.

Jam di dinding menunjukkan jam 9.00 pagi. Baru Jamil tersedar. Dia bergegas bersiap ke tempat kerja. Tiga kali dia berganti kemeja. Semua tidak disukainya. Akhirnya dia menyarung kemeja Bruni warna biru kegemarannya. Sudah agak lama kemeja itu tidak disentuhnya. Dalam perjalanan dari Kampung Baru ke pejabatnya di Taman Tun, Jamil tertanya-tanya.

Hatinya berdebar-debar. Suara Faridah di telefon macam biasa. Dia baik-baik saja. Gaya bercakapnya yang manja tidak berubah. Itu yang membuat Jamil pening. Sebab dia tahu benar perangai Faridah. Kalau ada masalah dia tidak pernah menunjuk.

Sebaik sampai di pejabat, dua tetamu sedang menunggu Jamil. Dia betul-betul lupa ada temujanji pagi itu. Zaidah, pembantunya terus mengikuti Jamil masuk ke bilik.

“Paula dan Maria dah lama tunggu kat luar tu”.
“Kenapa awak tak call saya tadi?”.
“Hand phone Encik Jamil voice mail mode”.
“Ya, Allah! Habis bateri, patutlah..,” keluh Jamil sambil mencampakkan telefon bimbitnya di atas meja.
“Model tu, Ms Sally yang hantar. Untuk foto iklan AirAsia”.

Jamil menghempaskan tubuhnya ke kerusi. Dia terlupa tentang temujanjinya padi itu. Jari-jarinya mula mengetuk-ngetuk meja. Esok, sesi fotografi iklan AirAsia. Satu masalah lagi. Jamil mengangkat telefon.

“Edwin, kau tolong datang sini sekejap”.

Jamil bangun mendapatkan Zaidah di luar. Dia memberitahu Zaidah supaya meminta Edwin, Pengarah Kreatif menguruskan model-model tadi. Jamil bergegas keluar selepas itu.

“Sorry girls, I forgot!. My CD* will talk to you, ok!” Jamil berlakon di depan model-model tadi. Mereka berdua tersenyum.

“Bagi tau bos, I cuti emergency hari ni,” Jamil memandang Zaidah dan berlalu keluar. Zaidah terpinga-pinga.

“Model tu macamana?”
“I dah suruh Edwin take care.”

Jamil memecut dengan keretanya ke Seksyen 6, Shah Alam. Dari Taman Tun, dia mengambil Lebuhraya NKVE lalu keluar semula arah ke Subang Jaya. Lebuhraya Persekutuan agak lengang. Dari Batu 3 Jamil mengambil masa 10 minit sebelum tiba di rumah adik Faridah, Khadijah di Seksyen 6. Dia meletakkan kereta agak jauh. Sambil menyalakan rokok, dia berjalan ke arah rumah Khadijah.

“Cantik baju,” tegur Faridah sebaik Jamil melangkah masuk.

Jamil hanya mampu tersenyum. Dia terus duduk di sofa. Kemeja Bruni yang dipakainya adalah hadiah dari Faridah. Kemeja tersebut di kurier dari LA dua tahun lepas. Ole-ole semasa percutian Faridah di Rom, Itali.

“Tunggu kejap, Nadia tengah pakai baju,” kata Faridah meletakkan segelas air oren di atas meja.

Faridah mengambil tempat duduk di depan Jamil. Agak sunyi pagi itu kerana anak-anak Khadijah telah ke sekolah. Jamil meneguk minuman.

“Macam tak da baju lain!,” tegur Faridah sambil tersenyum.
“Saja, I suka baju ni,”
“Betulke?”
“Salahke I pakai baju ni?”, tanya Jamil sambil tersengih.
“Takkkk... I pun suka tengok...” meleret senyum Faridah.

Bersambung...

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home