basree-rakijan

Monday, February 11, 2008

P. S. I Love You - P2




Bangunan Berkembar Petronas tercacak di bumi macam dua batang setanggi besar. Ia adalah ikon bandaraya Kuala Lumpur. Waktu Jamil dan Faridah tiba orang masih belum ramai. Masih awal lagi, jam 11.30 pagi. Dari Jalan Ampang, Jamil terus memandu ke tempat letak kereta bawah tanah, KLCC.

“Bangunan Berkembar ni ada 88 tingkat semuanya,” Jamil memberitahu bangga.

“Berapa tingginya Uncle?” tanya Nadia anak Faridah yang sulung.

“452 meter dari aras laut!”

“Tinggi tu!!”

“Dan ia direkacipta oleh Cesar Pelli & Associates.”

“Arkitek kelahiran Argentina yang terkenal tu?, dialah yang buat Orange County Performing Arts Center, Uncle.” tambah Nadia bersemangat sambil memandang ibunya.

“Mama pernah bawak kita ke sana Uncle,” tegas Nadia.
“Ha! Jangan awak nak bangga sangat ok?” kata Faridah mengingatkan Nadia.

Anak Faridah yang sulung memang cepat mesra. Baru berumur 14 tahun tapi dia tidak kekok bergaul. Pengetahuan amnya juga baik. Dia belajar menengah tinggi sekarang dan mendalami bidang muzik/piano dan drama. Amilah 10 tahun, adik Nadia agak pendiam tetapi comel. Dia cuma bercakap bila ditanya saja. Perbezaan mereka berdua macam langit dengan bumi.

Macam pemandu pelancong Jamil hari itu. Semua selok belok KLCC, Bangunan Berkembar Petronas, Petronas Philharmonic Orchestra, Bangunan Maxis, diterangkannya pada dua pelawat kecil dari LA itu.

“Mana uncle tahu semuanya ni?” tanya Nadia manja.
“Uncle research dululah sebelum bawak Nadia!”
“Jangan temberanglah Jamil!” sergah Faridah.

Faridah memang tidak hairan kenapa Jamil begitu taksub dengan KLCC dan pembangunan di sekitarnya. Waktu Petronas mula-mula membangunkan projek KLCC dulu, syarikatnya telah diberi kontrak rakaman video projek. Masa pelancaran Petronas Philharmonic Orchestra pun dia menyediakan kelengkapan rakaman secara langsung video majlis tersebut. Waktu itu Jamil bertugas di TV3.

“Hamidah tak marah ke you keluar dengan I ni?” tanya Faridah sebaik melangkah masuk ke Kinokuniya, gedung buku terbesar di KLCC.

Jamil terkejut dengan pertanyaan itu. Tergamam dia sebentar. Dia cuba mententeramkan perasaannya. Kedua-dua anak Faridah terus menghilangkan diri di dalam timbunan buku-buku di situ.

“Dia tak tahu.”
“Kalau dia tahu?”
“Dia tak tahu, macam mana nak marah?”

Jamil cuba mengelak soalan Faridah. Baginya soalan itu tak perlu jawaban. Faridah tahu sendiri. Hamidah ialah isteri Jamil. Jamil berkahwin sejurus tamat pengajian di UM dulu. Mereka mempunyai dua orang anak. Sepasang, lelaki dan perempuan. Hamidah memang tahu Jamil dan Faridah berkawan rapat, sejak di bangku sekolah lagi. Itu sahaja. Yang selebihnya, Jamil tak pernah menceritakan.

“Jom kita minum di Coffee Club Express,” Jamil menunjukkan Faridah kepada restoran yang terdapat di dalam Kinokuniya. Tempatnya agak tersorok. Dua pelanggan sedang minum di situ. Jamil dan Faridah mengambil tempat bersebelahan dengan poster Salvador Dali, “The Burning Giraffe”.

Poster setinggi lima kaki itu ialah salinan dari lukisan asal Dali, 1937. Dua orang wanita berwarna biru gelap berdiri lemah. Kedua-duanya disokong dengan tongkat pada bahagian belakang badan. Seorang memegang selembar daging yang masih merah. Di dada dan paha mereka tersembul keluar laci-laci empat segi. Jauh di belakang seekor zirafah sedang terbakar.

“You tau kan lukisan ni?” tanya Jamil sambil merenung ke arah Faridah.
“Ya. Tapi I tak pasti apa mesej Dali,” jawab Faridah lalu mengalih pandang ke poster Dali.
“Itu cara Dali menggambarkan kelemahan manusia. Manusia yang tak mampu berdiri sendiri. Perlu ditongkat. Dan manusia yang penuh dengan seribu satu macam rahsia.”

“Macam you, banyak simpan rahsia,” kata Jamil.
“Mestilah,” jawab Faridah ringkas.

Sudah beberapa kali Jamil bertanyakan Faridah. Namun jawaban yang diterima langsung tidak memuaskan hatinya. Dua puluh tahun dulu, Faridah pernah menolak cinta Jamil. Tapi Faridah tak pernah menjelaskan mengapa. Hingga sekarang bila kedua-dua mereka telah memilih haluan masing-masing, pun Jamil masih mengulangi soalan tersebut. Dan Faridah masih tetap tidak memberikan jawaban.

“Kita dah berkawan terlalu lama Jamil.”
“So, apa salahnya kalau sekarang kita jadi kekasih?”
“I am not comfortable. Biarlah kita terus sebagai kawan saja.”
“Apa maksud you?.” Faridah diam. Jamil terpaku memandang Dali.
“I tak mau melukakan hati orang.”
“Hati siapa?”

Bersambung…

0 Comments:

Post a Comment

<< Home