basree-rakijan

Tuesday, November 14, 2006

KERTAS SEJARAH MENENGAH 101

Bismillah….

Hari ini aku belajar Sejarah dan Kita dalam Bab 1 Sejarah Tingkatan 1. Bab ini pada asasnya memperkenalkan konsep sejarah secara keseluruhan. Para pelajar dikehendaki memahami:-

1) pengertian sejarah,
2) cirri-ciri sejarah,
3) sumber sejarah,
4) kaedah pengkajian sejarah,
5) pentafsiran sejarah,
6) kepentingan sejarah,
7) tujuan mempelajari sejarah
8) faedah mempelajari sejarah

Pengertian Sejarah

Sejarah berasal dari perkataan bahasa Arab, ‘Syajaratun’ yang bererti pohon, atau pokok, salasilah, riwayat, keturunan dan asal-usul. Pengertian sejarah seperti yang diberikan oleh ahli sejarah dari Tunisia iaitu Abdul Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun atau Ibn Khaldun (1332-1406 Masehi) ialah:

“Sejarah membicarakan tentang masyarakat manusia atau peradaban manusia tentang perubahan-perubahan yang berlaku pada sifat-sifat kemasyarakatan.”

Herodorus, sejarawan Yunani pula berpendapat:

“Sejarah ialah penceritaan tentang tindakan manusia dan sebab-sebab mereka melakukannya.”

Seorang lagi ahli sejarah, Muhd Yusof Ibrahim pula berpendapat:

“Sejarah merupakan catatan ataupun rekod mengenai sesuatu peristiwa yang berlaku pada suatu masa yang lalu.”

Kesimpulannya, maksud sejarah ialah penyelidikan mengenai perkara-perkara yang telah berlaku.

Ciri-Ciri Sejarah

Fakta tepat dan benar:
Segala peristiwa, tokoh, tarikh dan tempat sejarah boleh dibuktikan,
Fakta sejarah tidak boleh ditokok tambah atau direka. Fakta sejarah boleh dipertanggungjawabkan kesahihannya,


Penting dan bermakna:
Kesan sejarah penting kepada kita, ahli keluarga, masyarakat dan Negara,

Mempunyai sebab dan akibat:
Sejarah mencari kebenaran tentang peristiwa masa lalu,
Perlu mengetahui sebab dan akibat sesuatu peristiwa, oleh itu perlu diketahui
apa, siapa, bila,di mana, mengapa, dan bagaimana sesuatu peristiwa berlaku?


Sumber Sejarah

Sumber sejarah terbahagi kepada dua:

Sumber Pertama – atau sumber primer, bahan asal belum diolah, bersifat asli & belum ditafsir, contohnya: fail rasmi jabatan, surat peribadi, diari, manuskrip belum dicetak dan batu bersurat.

Sumber Kedua – atau sumber sekunder, bahan diperolehi dari kajian bahan pembacaan dan bertulis, bahan ini datangnya dari sejarawan atau pengkaji sejarah, bahan sudah diolah, dicetak, dan disebarkan umum. Contoh: buku, majalah, jurnal, akhbar, ensiklopedia, laporan tahunan jabatan dan risalah.


Kaedah Pengkajian Sejarah

Tiga kaedah pengkajian sejarah ialah:

Kaedah Lisan – temu bual dengan tokoh, sejarawan, melalui ucapan, penceritaan, pengisahan dan perbualan. Kaedah ini memerlukan sejarawan memilih, mentafsir dan membuat perbandingan fakta bagi mencari kebenaran.

Kaedah lisan ada kelemahan seperti bercampur unsur dongeng, mitos dan lagenda.

Dengan perkembangan teknologi maklumat sejarah boleh didapati dari televisyen, internet, cakera padat, radio dan pita rakaman.

Kaedah Bertulis – kaedah ini mendapat maklumat dari sumber bertulis dan dilakar di atas batu, dinding gua, kulit kayu, daun kayu, logam, gading dan kertas.


Kaedah Arkeologi – maklumat yang diperolehi secara saintifik. Antara cabang arkeologi ialah angkasa lepas, maritim dan cari gali. Melalui kajian saintifik seperti pentarikhan radio karbon, ketepatan usia sesuatu bahan tinggalan (fosil, binaan dari batu, peralatan logam, tembikar dan kulit siput) dapat disahkan.

Pentafsiran Sejarah

Pentafsiran bermaksud ulasan atau kupasan ke atas peristiwa sejarah. Dengan tafsiran peristiwa sejarah menjadi bermakna, berfaedah atau sebaliknya. Sejarawan sentiasa ingin tahu sebab musabab sesuatu peristiwa berlaku. Penyelidikan diperlukan untuk mendapat maklumat sejarah yang betul dan tepat. Tafsiran sesuatu peristiwa sejarah yang sama mungkin berbeza antara sejarawan.

Perbezaan tafsiran ini disebabkan pandangan yang berbeza di kalangan sejarawan, asal usul dan latar belakang yang berlainan. Bias juga berlaku. Masalah juga dihadapi untuk mendapatkan maklumat yang benar dan tepat.

Kepentingan Sejarah

Tujuan mempelajari sejarah:

Menghargai jasa tokoh
Mendapat banyak pengetahuan
Memahami sejarah tamadun awal
Memupuk sikap berhati-hati

Faedah mempelajari sejarah:

Memberi iktibar
Perangsang kepada kemajuan Negara
Memupuk semangat patriotism


Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur
13 November 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home