basree-rakijan

Monday, February 18, 2008

P. S. I Love You P3

Jamil meluahkan perasaan cintanya kepada Faridah ketika cuti semester UM. Dia sudah bersedia untuk ‘menaiktaraf’ hubungannya dengan Faridah. Dia menyangka Faridah akan dapat menerima cintanya. Jangkaan Jamil meleset. Namun, lumrah gurisan cinta pertama, lukanya terlalu dalam. Tidak mudah nak dilupakan begitu saja. Sehinggalah sekarang, walaupun Jamil sudah menerima hakikat Faridah isteri orang, Jamil masih lagi bertanyakan Faridah. Mengapa cintanya ditolak? Tanpa alasan. Tanpa penjelasan. Dia merasakan berhak tahu.

“Encik nak minum apa?” pertanyaan pelayan restoran mengejutkan Jamil.
“Err..., You minum apa?”
“Bagi saya latte.”
“Sayapun sama.”
“They serve the best caffe latte here,” kata Jamil. Dia malu sebab mengelamun jauh tadi.

“I jumpa you ni nak cakap sesuatu,” Faridah berkata sambil matanya melemparkan pandangan keluar.

“I dah agak dah. You mesti ada sesuatu,” Jamil menjawab semacam mengiakan apa yang terbuku di benaknya sepanjang hari.

“Ada surat dari Rahimah Nordin.”
“Apa? You melawak ke ni…,”
“Ada beberapa pucuk yang you patut baca.Dah lama dalam simpanan I.”


Jamil terkejut besar. Rahimah Nordin meninggal dunia pada tahun 1987. Bagaimana surat tu baru muncul sekarang, selepas 20 tahun. Jamil mula cemas bercampur bingung. Memang dia kenal Rahimah. Jamil kenal Rahimah terlebih dulu sebelum mengenali Faridah. Mereka bertiga satu kelas Tingkatan 6 Sains, English College, Johor Bahru.

Rahimah pelajar paling cantik dalam kelas Jamil. Kulitnya putih kuning, licin macam telur dikupas. Matanya besar, hidung mancung. Dia sentiasa berpakaian kemas dan sopan. Kalau bercakap sentiasa tersenyum lalu ketawa. Dia juga seorang peramah dan pandai bergaul. Dia seorang yang cekal dan setia.

Dari Faridah, Jamil mendapat tahu keluarga Rahimah dari golongan elit Johor. Bapanya guru besar di Sekolah Menengah Bakar Batu, Johor Bahru sementara ibunya pegawai tinggi di Jabatan Pelajaran, Johor. Datuk Rahimah ialah tokoh politik Umno yang disegani di Johor sementara bapa saudaranya ialah Menteri Besar Johor pada masa itu. Rahimah tinggal di Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Yang paling Jamil ingat tentang Rahimah ialah dia pernah beberapa kali, menolak pelawaan Rahimah untuk menonton wayang bersama dulu. Itupun bukan dia sengaja menolak. Dalam dia gembira Rahimah mengajaknya keluar, Jamil sebenarnya kurang selesa. Jamil datang dari kampung dan berkeluarga orang kebanyakan, Rahimah pula anak orang berada. Rasa rendah dirinya begitu menebal waktu itu. Jadi dia membuat pelbagai alasan mengelak dari terlalu rapat dengan Rahimah.

Selepas beberapa kali dipelawa, akhirnya Jamil keluar juga dengan Rahimah. Kebetulan, Faridah tidak hadir ke sekolah. Lepas saja tamat matapelajaran terakhir hari itu, Rahimah bergegas mendapatkan Jamil.

“Faridah tak ada hari ni. Kita lunch sama-sama ya,” ajak Rahimah sambil melangkah keluar bilik darjah.
“Ya, ok. Boleh jugak,” Jamil menjawab serba salah.
“Kita makan di Tepian Tebrau. Lepas tu boleh ke Perpustakaan Tun Ismail.”
“Ya, ok. Jom la,” pendek saja jawaban Jamil.

Peristiwa lebih 20 tahun lalu berkumandang kembali. Sepanjang makan Jamil langsung tak berselera. Macam tak percaya dia akhirnya keluar dengan Rahimah. Rahimah ingin tahu mengapa Jamil sering cuba mengelak darinya. Puas Jamil memberi alasan. Namun satu pun tak masuk akal.

Petang itu Rahimah menghantar Jamil pulang dengan keretanya. Sebaik Jamil keluar dari kereta Honda Civic milik Rahimah, matanya terus tertumpu kepada nombor pendaftaran kereta tersebut, JAM 33.

Tidak ada kurangnya Rahimah. Dari segala segi, dia memang calon girlfriend terbaik. Kalau Rahimah orang kebanyakan, dah lama Jamil boleh menerimanya. Bagi Jamil Rahimah umpama seekor merak kayangan.

Dengan berhati-hati Jamil membuka sampul surat yang dihulurkan Faridah. Lembaran kertas A4 yang digunakan sudah agak lusuh. Gementar jari Jamil memegang surat itu. Jantungnya berdegup kencang. Surat tersebut ditujukan kepada Faridah bertarikh 30 April 1987. Ia diposkan dari Bloomington Indiana, United States of America…

Bersambung...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home