basree-rakijan

Monday, November 10, 2008

P. S. I Love You - 6



Faridah hanya tersedar apabila Jamil menghulurkan sapu tangan untuk menyapu airmatanya. Memang Jamil tidak mungkin melupakan dia. Faridah terpaksa menerima hakikat tersebut. Walaupun mereka berdua sudah mempunyai haluan hidup yang berbeza, perasaan Jamil terhadap Faridah tidak pernah berubah. Malah, itulah yang sering diulangi Jamil pada setiap pertemuan mereka. Itu semua membuat Faridah resah dan serba salah.

Sudah berkali-kali Faridah mengingatkan Jamil bahawa dia isteri orang. Namun, Jamil langsung tak mengendahkan. “Saya pun suami orang,” itu gurauan Jamil setiap kali Faridah mengingatkannya. Akhirnya Faridah sendiri penat dan mengalah.

“Ke mana Nadia dan Amilah?” tanya Jamil.
“I suruh dia orang ikut Khadijah balik,” jawab Faridah.

Baru Jamil sedar kedua-dua anak gadis Faridah sudah pergi bersama Khadijah, adik bongsu Faridah yang kebetulan bekerja di Maybank, KLCC, Kuala Lumpur.

Angin petang bertiup kuat dari arah taman ke restoran Dome, KLCC. Petang-petang begitu, para pelanggan ramai. Jamil mencadangkan supaya mereka duduk di luar restoran sahaja kerana dia hendak merokok. Tetapi kerana mahukan privacy, Faridah menarik tangan Jamil terus ke dalam restoran.

Faridah semakin gelisah. Menyesal pula dia menyuruh Nadia dan Amilah pulang dulu. Tetapi itulah yang terbaik difikirkannya sebentar tadi. Ada perkara hendak dibincangkannya dengan Jamil. Di dalam restoran, satu lagi surat Rahimah Nordin dihulurkannya kepada Jamil…

Salam dari sahabatmu yang jauh
Semoga kau sihat-sihat selalu Faridah,

Entah mengapa hatiku bimbang saja dua tiga hari ni. Exam dah dua hari berlalu. Sahabatku, Fauziah Mek Kelantan tu dah berlepas ke Chicago semalam. Aku berseorangan di sini. Tak taulah apa aku nak buat masa cuti semester kali ini.

Baju kurung Johor yang kau hantar sudah aku terima. Cantiknya! Terima kasih banyak kerana bersusah payah mengirimkan baju tu. Baju tu aku terima sekali dengan beberapa lagi kiriman keluargaku dari JB termasuk beberapa majalah dan keratan akhbar the New Straits Times dari Jamil. Aku bercadang untuk memakai baju kurung tersebut pada Majlis Kebudayaan universiti bulan depan.

Bercakap pasal Jamil, kenapa dia senyap saja?Dahlah masa di sekolah dulu dia selalu mengelak dari aku, sampai sekarang pun dia tak berubah. Kalau aku tulis surat, lembat baru dia balas. Nak harapkan dia menulis, boleh jadi sasau aku di sini!

Kau tau tak? Dalam surat aku terbaru kepada Jamil, aku ada bertanya tentang masa depan dia. Dia kata dia sedang sibukkerana mengulang peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran. Kesian aku melihat dia. Siang bekerja di bank dan malam terpaksa mengambil kelas STP. Aku berdoa dia akan berjaya dalam peperiksaannya nanti. Ada juga aku bertanya tentang ‘girl friend’ dia. Katanya, dia belum ada kesempatan untuk memikirkan perkara tersebut. Sedap hatiku mendengarnya. Bukan apa, aku tak mahu dia kecundang lagi dalam peperiksaan jika ada ‘gangguan’ seperti itu.

Emak aku ada menyebut tentang Jamil juga. Dia ada bertanyakan aku siapa Jamil? Katanya, Jamil banyak bersusah payah mengirimkan bahan-bahan rujukan dari JB untuk aku. Emak aku berpesan supaya menulis surat kepada Jamil dan berterima kasih kepadanya.

Nada surat emak akupun lain macam saja. Dia begitu mengambil berat dan asyik mengingatkan aku supaya menulis kepada Jamil. Entahlah…

Kau pun tahu siapa Jamil. Aku saja yang mengambil berat tentang dia. Namun dia acuh tak acuh sahaja. Dan sejak aku jauh di sini, akupun dah tak tahu lagi banyak perkembangan diri Jamil lagi.

Tak mengapalah. Kita hanya boleh merancang. Tuhan sahaja menentukan. Sorilah, aku banyak mengambil masa kau. Aku akan menulis lagi kalau ada masa. Jumpa lagi di kesempatan depan.

Salam rindu dari sahabatmu,

Rahimah Nordin.


Jamil diam. Surat Rahimah dihulurkannya kembali. Faridah menyimpan kembali surat tersebut di dalam beg tangannya. Mereka berdua tidak berkata apa-apa.

“Encik nak makan apa?” tanya pelayan restoran mengejutkan mereka berdua.
“Bagi saya Chicken and Mushroom Pie dan Earl Grey tea,” jawab Jamil.

Faridah masih lagi membelek-belek menu. Dia belum memutuskan hendak makan apa petang itu.

“What do you recommend ya? tanya Faridah kepada pelayan.
“Can I recommend you “Caesar” Miss?”
“Oh, what is that?”
“This is Dome Special today Miss. Sliced beef, with parmesan, cos lettuce, croutons and classic Caesar dressing,”
“OK, I’ll have that, and a black coffee for me,”

Pelayan restoran berlalu selepas mengulangi tempahan Jamil dan Faridah. Jamil bangun mencapai beberapa naskah majalah yang disusun pada dinding restoran. Faridah memerhatikan pergerakan Jamil. Dia masih menunggu tindak balas Jamil lepas membaca surat Rahimah. Dan Jamil terus berlakon macam tiada apa perlu dikomen tentang surat itu.


Bersambung...









0 Comments:

Post a Comment

<< Home