basree-rakijan

Monday, February 23, 2009

P. S. I Love You - 7

Angin pantai Redondo Beach, Los Angeles bertiup sejuk petang itu. Faridah bersama dua anak remajanya berjalan menyusuri tepian pantai. Amilah dan Nadia berjalan di hadapan. Faridah di belakang. Sudah lebih satu jam mereka bersantai di situ. Faridah mahu menikmati persekitaran Redondo Beach puas-puas. Esok dia akan bertolak ke Kuala Lumpur. Dia bercadang tinggal di KL agak lama kali ini. Ini hari terakhir dia menghirup udara Redondo Beach sebelum berlepas dengan pesawat esok.

Rumah banglo Faridah terletak tidak jauh dari Pier Harbor, Redondo Beach. Dia sudah tinggal di situ lebih 15 tahun. Kediaman di kejiranan mewah Los Angeles itu sudah sebati dengan Faridah. Dia berpindah ke rumah tersebut sebaik berkahwin dengan Ismail David Locklear 18 tahun dulu. Rumah banglo putih menghadap laut itu dipilih sendiri oleh Faridah.

Sesampainya di sebuah bangku kayu bersebelahan perkarangan ‘roller blade’, Faridah terus duduk. Dia kepenatan lepas berjalan lebih dua jam. Amilah dan Nadia turun bermain pasir di pantai. Matahari sedang terbenam perlahan. Pemandangan di Redondo Beach sangat memukau. Ramai penduduk sekitar keluar menghirup udara segar.

Beberapa kumpulan wanita dengan bikini berjalan di persisiran pantai bersama anjing-anjing kesayangan mereka. Lelaki berbadan sasa berjoging dengan seluar pendek tanpa baju. Kanak-kanak pula saling berbalingan frisbee sesama mereka. Namun keriangan di pantai Redondo tidak dirasai oleh Faridah.Entah kenapa hati Faridah bertukar menjadi sayu petang itu. Pergerakan matahari terbenam semacam ingin mengakhiri satu bab penting dalam kehidupan Faridah. Ada semacam mesej yang ingin disampaikan kepada Faridah.

Biarpun suhu sekeliling sudah bertambah sejuk, Faridah tidak merasakan perubahan tersebut.Hatinya terluka dengan keengannan Ismail pulang ke Kuala Lumpur bersama-sama keluarga. Bukan Faridah tidak biasa pulang ke Malaysia tanpa Ismail. Tetapi kerana terlalu kerap bersendirian itulah, maka cakap-cakap kurang menyenangkan timbul di kalangan keluarga di Kuala Lumpur. Faridah sudah ketiadaan alasan untuk menjaga hati keluarga di Kuala Lumpur.

Pertengakaran memang kerap berlaku setiap kali Faridah mengajak Ismail pulang ke Kuala Lumpur. Tetapi pertengkaran tiga hari lepas begitu menyakitkan hari Faridah. Sudah tiga hari jugalah dia tidak bercakap dengan Ismail. Dulu masa ayah Faridah meninggal dunia pun Faridah pulang dengan anak-anak saja. Waktu itu Ismail menghadiri seminar di New York. Kepulangan kali ini ialah untuk menguruskan pembahagian harta keluarga di Johor Bahru. Faridah benar-benar mengharapkan kehadiran Ismail. Sekurang-kurangnya dapat memberi sokongan moral kepadanya. Bukan ada perebutan harta di kalangan keluarga, tapi Faridah mengharapkan Ismail ada bersama.

“I can’t join you for the trip, Ida,”
“Why not?”
“My client is taking me to New York.”
“New York, not again!”

Perbualan tiga hari lepas berkumandang semula di benak Faridah. Dia tahu benar siapakah pelanggan yang dimaksudkan Ismail. Michelle Tan. Pengusaha fashion terkemuka dari Malaysia. Firma Young and Knowlton, LA tempat Ismail bekerja adalah penasihat undang-undang gedung fesyen “MLT Fashion House” milik Michelle. Setiap kali ada pertunjukan fesyen di New York, Michelle akan meminta Ismail menemaninya.

MLT Fashion House membangun bersama Young and Knowlton di LA. Ismail adalah orang yang terawal berkhidmat untuk Michelle waktu dia mula-mula mencipta nama di Amerika dulu. Kini MLT Fashion House sudah sinonim dengan industri fesyen Amerika. Nama Michelle Tan sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Faridah pun mengenali Michelle, maklumlah mereka sama-sama dari Malaysia.

“Can’t you say no to your client?” rayu Faridah.
“I can’t Ida. You know how important MLT is to my firm.”

Lamunan Faridah tiba-tiba terhenti. Amilah dan Nadia sudah duduk di sebelahnya. Amilah menarik tangan Faridah mengajaknya pulang. Hari sudah semakin gelap dan suhu turun dengan derasnya. Faridah berjalan mengheret kaki dengan malasnya. Seluruh tubuhnya terasa berat meninggalkan Redondo Beach petang itu. Lampu-lampu jalan sudah mula menyinari malam. Restoran-restoran pantai mula menerima pengunjung.

Sesampainya mereka di rumah, Faridah dikejutkan oleh kereta BMW 6 Series suaminya. Ismail pulang awal hari itu. Biasanya dia akan sampai di rumah sekitar jam 9.00 malam. Jantungnya berdegup kencang. Semacam ada sesuatu yang luar biasa dirasakannya melihat Ismial sampai lebih awal. Kaki Faridah melangkah lemah. Dedaun pintu ditolak longlai.

“I am leaving for New York tonight Ida,” Ismail menyambut Faridah di muka pintu.
“Why?, you are not scheduled to leave until tomorrow,” tanya Faridah cemas.
“Something cropped up in New York, and I have to be there early,”
“And I am leaving with the kids tomorrow!”

Faridah menghempaskan punggungnya di sofa. Amilah dan Nadia terus menuju ke bilik mereka. Mereka berdua tahu akan ada ‘perperangan’ lagi antara Faridah dan Ismail. Kedua-duanya mendiamkan diri. Nadia membetul-betulkan beg besar terletak di kaki katil. Semua keperluan untuk percutian di Kuala Lumpur sudah diletakkan di dalam beg itu. Dua beradik itu merenung beg-beg besar mereka tanpa sepatah kata. Dari bawah kedengaran suara Faridah bertingkah dengan Ismail.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home