basree-rakijan

Tuesday, May 26, 2009

P S I Love You - 9


Jamil meninggalkan pejabat lebih awal petang itu. Dia berpesan kepada Zaidah pembantunya, kalau ada sesiapa bertanyakan dia, suruh saja mereka menghubungi telefon bimbitnya. Selepas menutup PC di atas meja, Jamil mencapai kunci kereta lalu melangkah keluar. Wajah Jamil tampak risau. Zaidah tertanya-tanya apakah yang menyebabkan bosnya begitu sugul sepanjang hari.

Sepanjang lima tahun berkerja dengan Jamil dia jarang-jarang berkelakuan begitu. Biarpun berdepan dengan masalah kehilangan akaun pelanggan terbesar, Jamil masih mampu bertenang. Tapi kali ini dia tampak begitu tertekan sekali. Hendak dikatakan syarikat menghadapi masalah tidak juga. Sebab semasa mesyuarat pagi tadi akaun-akaun yang diurus Jamil semua mencatatkan prestasi memberangsangkan.

Mata Zaidah mengiringi Jamil sampai dia masuk ditelan lif. Begitu Jamil hilang dari pandangan Zaidah terus masuk ke bilik Jamil untuk mengemas meja. Beberapa helaian kertas berserakan di meja Jamil. Zaidah mengutip kesemua kertas-kertas tersebut lalu meletakkannya di dalam fail. Tiba-tiba sekeping gambar lama yang sudah lusuh terjatuh dari himpunan kertas-kertas yang diangkat Zaidah.

Gambar itu sudah pudar. Di dalamnya kelihatan Jamil dan empat orang lagi rakan sedang berdiri di hadapan sebuah kereta Honda Civic berwarna kelabu. Jamil pada usia sekitar 20an ketika itu. Kesemua mereka mengenakan jeans biru dan Jamil yang memakai kemeja-T putih kelihatan sedang menutup muka semacam belum bersedia semasa kamera dipetik. Di belakang gambar tersebut tercatat kata-kata ....

“All love that has not friendship for its base, is like a mansion built upon sand”

Waktu Jamil tiba di Hotel Hyatt Saujana, Subang jam sudah menunjukkan pukul 6.45 petang. Dua bas persiaran besar kelihatan sedang menurunkan penumpang. Para pelancong dari Jepun itu berjalan ke arah "Kogetsu", restoran Jepun bersebelahan hotel tersebut.

Faridah sudah menempah tempat duduk di restoran tersebut. Pagi tadi dia sudah menelefon Jamil untuk makan malam bersama di situ. Ada perkara penting hendak dibincangkan katanya. Walaupun tidak begitu menggemari makanan Jepun, Jamil tidak menolak. Restoran tersebut ialah tempat kegemaran Faridah.

Biarpun puas didesak Jamil namun Faridah tetap enggan memberitahu perkara penting yang hendak dibincangkannya. Faridah hanya berkata dia mungkin tidak pulang semula ke Los Angeles. Dia sudah memutuskan hendak tinggal di Kuala Lumpur. Puas Jamil berteka-teki namun dia tidak mampu mencari jawaban yang memuaskan hatinya.

”Nasib baik you dah buat tempahan,” sapa Jamil sebaik mengambil tempat duduk di hadapan Faridah.
”Kenapa?,” tanya Faridah
”I nampak dua bas persiaran pelancong Jepun menuju ke mari.”
”Ehh, I am a regular customer here lah, don’t worry”
jawab Faridah lalu meleretkan senyuman.

Jamil tidak tahu makanan apa yang hendak ditempah sebaik pelayan mendekati mereka. Kerana hendak menjimatkan masa, dia meminta soba, sushi dan tempura. Tempahan tersebut disertakan chawan mushi, jeruk timun, sup miso, salad dan buah-buahan.

”That’s is lunch menu Jamil!” bisik Faridah lalu mentertawakan Jamil.

Jamil selamba saja. Dia terus makan bila tempahan tiba. Dia langsung tidak menanyakan tempahan Faridah. Yang dia ingat Faridah menyebut ikan salmon kepada pelayan tadi. Lepas separuh makanan tersebut dimakannya Jamil meletakkan chopsticks.

”Tak ada selera lah...” kata Jamil sambil meneguk air teh Jepun.

Tempat duduk mereka berdepan dengan tasik. Kerlipan lampu-lampu yang menghias tepian tasik tersebut menambah keceriaan malam. Namun Jamil tidak mengendahkan itu semua. Dia begitu ingin tahu tujuan Faridah mengajaknya keluar malam itu.
Tiba-tiba Faridah bangun beralih tempat duduk. Dia duduk di sebelah Jamil menghadap ke arah tasik. Sambil terus melemparkan pandangan jauh ke luar restoran, Faridah menggengam tangan Jamil.

”Jamil, I dah buat keputusan,”
“Keputusan apa?”
“Untuk tinggal terus di Kuala Lumpur.”
“Apa maksud you?”
“I akan berpisah dengan Ismail.”
”Apa?!!”
Jamil terkejut lalu melepaskan jarinya dari genggaman Faridah. Bila dia cuba mengalihkan pandangan, mata kedua-dua mereka bertembung.

”I akan ambil haluan hidup sendiri," kelopak mata Faridah mula menitiskan airmata. Tapi matanya masih memandang ke arah tasik. Kerdipan cahaya lampu di tepian tasik menari-nari dalam mata Faridah. Dia sebak. Hatinya terasa kosong sekosongnya.

”Dan I berharap dapat menumpang kasih you, Jamil”

Jamil bungkam. Dia hanya mampu membisu seribu bahasa. Dia sendiri bingung dan terkejut. Tak tahu apa yang dirasakannya. Seluruh badannya terasa kebas. Jauh fikiran Jamil melayang dibawa perasaan. Perasaan apa? Dia pun tak tahu. Memang dia sukakan Faridah. Tapi itu dulu. Dalam keadaannya sekarang dia tidak dapat berfikir.

Perlahan-lahan Jamil mengutip kekuatannya semula. Walaupun dia masih sayangkan Faridah tetapi kini bukan masanya. Dia punya kehidupan sendiri. Begitu juga Faridah. Perbualan mereka sampai di situ sahaja. Tidak lama selepas itu Jamil menghantar Faridah pulang ke rumah adiknya di Shah Alam. Dia berlepas pergi sebaik Faridah melangkah keluar dari keretanya. Di dalam kereta, lagu "Izinkan Aku Pergi" oleh Kaer, berkumandang dari stereo Jamil.

Sinaran mata
Cerita segalanya
Duka lara terpendam
Memori semalam

Tinggal segala cinta
Tiada kembalinya
Abadi kasih kita
Kau bawa bersama

Mimpi indah mekar
Saat cinta bersemi
Sedetik asmara syurga
Selamanya

Pergilah rinduku
Hilangkan dirimu
Tak sanggup menanggung
Derita dikalbuku

Pergilah sayangku
Bangunlah semula
Semangat cintaku
Membara kerana dia
Tiada niatku
Tersemat dijiwa
Setia bersamanya
Cinta murni berdua
Beribu tahunnya
Mimpi indah mekar
Saat cinta bersemi
Sedetik asmara syurga
Selamanya

Pergilah sayangku
Bangunlah semula
Semangat cintaku
Membara kerana dia
Tiada niatku

Maafkan aku duhai kasih
Izinkan ku pergi